KUALA LUMPUR, 3 Nov – Tiga daripada 16 anggota sindiket memproses
pil ekstasi bernilai RM28 juta yang ditahan Ahad lepas, disyaki berkongsi
kepakaran dalam kegiatan berkenaan ketika dalam tahanan.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
(JSJN) Bukit Aman Datuk Haris Wong Abdullah berkata mereka ditahan dalam 10
serbuan serentak bermula 4 pagi di lokasi sekitar Jerantut, Pahang dan Lembah
Klang, pada Ahad lepas.

Pada sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau berkata dalam serbuan itu
polis menahan enam individu di Jerantut dan 10 di Lembah Klang.

Haris berkata serbuan itu dilakukan serentak oleh Pasukan Khas Taktikal dan
Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, yang menahan sembilan lelaki dan tiga
wanita tempatan, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga China serta dua
wanita rakyat Vietnam.

Haris berkata dalam operasi itu, polis menyerbu sebuah banglo yang dijadikan
makmal memproses pil ekstasi serta stor simpanan dadah, sebelum menahan tiga
lelaki dan tiga wanita tempatan.

Beliau berkata polis merampas adunan pil ekstasi seberat 201 kilogram dan
kokain seberat lima kilogram serta pelbagai perkakasan yang digunakan untuk
menghasilkan dadah jenis ekstasi di makmal tersebut.

“Siasatan polis mendapati mereka menyewa kediaman itu hanya untuk
menjalankan operasi dan tinggal di homestay yang disewa antara tiga hingga empat
minggu, dan terletak empat kilometer daripada banglo tersebut bagi mengelak
aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan rekod polis mendapati tiga lelaki tempatan itu
merupakan bekas banduan yang pernah ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan
Simpang Renggam, Johor atas kesalahan yang sama.

“Mereka baru sahaja dibebaskan pada Jun lepas, dan kembali berjumpa sebelum
menjadikan sebuah banglo di Jerantut sebagai makmal memproses dadah berkenaan,”
katanya.

Berikutan itu, polis membuat 10 lagi tangkapan di beberapa lokasi di ibu
negara iaitu Selayang, Kepong, Sri Muda, Gombak dan Bandar Sri Damansara pada
hari yang sama.

“Serbuan itu turut membawa kepada penemuan sebuah stor menyimpan dadah
disyaki ekstasi seberat 77 kilogram di sebuah kondominium di Kepong.

“Selain itu, sejumlah wang tunai RM800,000 termasuk mata wang asing
dirampas, dua utas jam tangan berjenama serta 10 kenderaan pelbagai jenis disita
dengan jumlah keseluruhan RM2.4 juta,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 18 dan 50 tahun itu
direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya 1952.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY