KUALA LUMPUR, 8 Okt – Keadaan Cuaca Dan Angin Kencang……. Cuaca dan angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hingga Selasa ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web yang dikemas kini jam 6.24 pagi ini melaporkan keadaan sama di perairan Labuan pula diramalkan berlaku hingga Isnin ini.

MetMalaysia ketika mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama menyatakan keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

“Ribut petir di perairan Terengganu dan Sarawak (Mukah dan Bintulu) pula dijangka berterusan hingga pagi ini. Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang hingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil,” kata laman web itu.

Bagi seksyen perkapalan, jabatan itu mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama apabila angin kencang barat daya dengan kelajuan 40-50 km/j dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan hingga Selasa ini.

Di perairan Bunguran, Reef South dan Labuan pula, ia diramal berlaku hingga Isnin ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Sementara itu, ribut petir di perairan Selat Melaka Utara dan Reef South dijangka berterusan hingga pagi ini. – WD MY

LEAVE A REPLY