KUALA KANGSAR, 31 OKT – CEDERA…. Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah treler selepas tiang konkrit dibawa kenderaan berat itu terjatuh dan menghempap kereta berhampiran Terowong Menora malam ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dua lelaki dikenali sebagai Leong Woei Sar, 34, dan Cheah Kim Seng, 60, maut di tempat kejadian. Dua wanita berusia 27 dan 30 tahun pula cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

DUA lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dipercayai susulan daripada beberapa tiang konkrit jatuh daripada sebuah treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Teworong Menora.

Semua mangsa berada dalam sebuah kereta ketika kejadian.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila beberapa tiang konkrit dibawa treler berkenaan terjatuh ke jalan dan terpelanting memasuki laluan bertentangan mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kenderaan terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 9.13 malam.

“Dilaporkan terdapat beberapa kenderaan terbabit kemalangan disebabkan pelanggaran dari arah belakang daripada tiang konkrit yang menghempap kenderaan pertama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, mangsa yang maut tersepit di dalam kereta dan operasi mengeluarkan dua lelaki itu sedang dilakukan manakala dua wanita yang cedera sudah dihantar ke HRPB.

“Jumlah mangsa lain yang cedera atau terbabit dalam kejadian ini belum dapat dipastikan,” katanya. – WD MY