PUTRAJAYA, 26 Sept – Tarik Balik Saman…… Bekas anggota Wanita UMNO Langkawi Anina
Saadudin menarik balik rayuan mengenai penolakan samannya terhadap Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha eksekutif UMNO Datuk Ab Rauf
Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib dan Ab Rauf, ketika
dihubungi berkata peguam yang mewakili Anina memfailkan notis untuk tidak
meneruskan rayuan itu bulan ini.

“Anina menawarkan untuk membayar kos RM5,000 dan kami bersetuju. Dengan itu,
berakhirlah perkara mengenai saman yang dikemukakannnya terhadap Najib dan Ab
Rauf,” kata beliau.

Sementara itu, ketika dihubungi, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang
mewakili Anina, berkata notis berkenaan difailkan pada 22 Sept berikutan
keputusan Anina untuk menarik balik rayuannya kerana ingin meneruskan perjuangan
melalui platform lain – parti politik, PPBM.

Beliau berkata adalah tidak munasabah bagi Anina meneruskan rayuannya kerana
dia tidak lagi menjadi anggota UMNO.

Mohamed Haniff berkata oleh kerana Anina menarik balik rayuannya itu, yang
ditetapkan untuk didengar hari ini, maka bagi berlaku adil kepada pihak yang
terlibat dengan kes itu yang telah membuat persiapan mengenai kes mereka, Anina
bersetuju membayar kos.

Pada 12 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman sivil Anina terhadap
Najib, yang juga presiden UMNO, dan Ab Rauf.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan
Najib dan Ab Rauf untuk mengetepikan saman itu selepas memutuskan bahawa Anina
tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan kehakiman kerana dia bukan
penyandang atau pemegang sebarang jawatan dalam UMNO.

Anina memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Ab Rauf, antara lain, untuk
menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion, (US$650 juta) yang didakwa
didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib di Singapura. – WD MY

LEAVE A REPLY