KOTA BHARU, JUN 9: KEPUTUSAN…Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, akan membuat keputusan minggu hadapan sama ada bertanding atau sebaliknya dalam pemilihan parti itu.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau ketika ini sedang menumpukan bagi membantu pentadbiran dalam menguruskan dan memastikan proses pemilihan berjalan dengan baik seperti diamanahkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau akan menyelesaikan tugasnya termasuk berjumpa dengan akar umbi di semua negeri, sebelum membuat sebarang keputusan untuk pemilihan itu nanti.

“Saya akan selesaikan semua kerja saya terlebih dahulu…sebab untuk mendaftar (pemilihan jawatan UMNO) hanya memerlukan masa lima minit saja menerusi ‘online’.

“Bila tiba masa nanti, saya akan beritahu sebenarnya (termasuk memutuskan jawatan mana yang akan ditandingi),” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan dan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri bermula 19 Mei hingga esok, manakala peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pemilihan parti pada kali ini disifatkan luar biasa apabila menerima pendaftaran lebih 100 anak muda termasuk golongan profesional tampil menawarkan diri bagi merebut jawatan parti dalam usaha memperkasakan semula UMNO.

“Ini satu perkembangan baik kerana pada mulanya saya khuatir apabila (UMNO) tiada kuasa, maka tiada sesiapa lagi mahu menawarkan diri, namun sebaliknya berlaku pada kali ini.

“Justeru, saya mengalukan semua orang dan lebih ramai lagi menawarkan diri kerana pokoknya kita sudah membuka seluas-luasnya (peluang untuk bertanding mana-mana jawatan parti).

“Cuma saya harap pemilihan ini berjalan dengan baik dengan tiada lagi amalan negatif seperti politik wang, sebaliknya kembalikan UMNO kepada idealisme yang asal. Jangan lagi membenih segala amalan yang tidak baik kerana UMNO harus berubah 100 peratus,” katanya.-MY WD