KUALA LUMPUR, 25 April – Beri Keterangan…. Tan Sri Annuar Musa dilapor akan memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA hari ini berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengaitkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Ini kali pertama Annuar tampil untuk memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA selepas hampir tiga bulan digantung tugas daripada jawatannya sejak 31 Januari lalu.

Beliau digantung tugas serta-merta oleh Ahli Majlis MARA bagi membolehkan Audit Dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu, termasuk penajaan Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Februari lalu, Annuar turut disoal siasat selama empat jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Pengerusi MARA berkuat kuasa 19 Julai 2003. – WD MY