KUALA LUMPUR, JULAI 17:SEMENTARA….Pelantikan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri adalah bersifat sementara sehingga beberapa kemelut di negeri berkenaan selesai.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu dicapai bagi membolehkan parti terus menyusun struktur pentadbiran parti di tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Terengganu.

Katanya, ketiga-tiga negeri itu gagal mencari penyelesaian berhubung isu kepemimpinan di peringkat negeri masing-masing.

“Kita berbincang dan mendengar pandangan pelbagai pihak dalam semua peringkat parti. Bagi tiga negeri ini, kita perlukan konsensus berhubung pelantikan kepemimpinan.

“Ini amalan biasa dalam parti dan dilakukan sejak dulu lagi, malah turut menjadi amalan parti lain dalam komponen BN.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO, beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan saya timbalannya,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Ia adalah sidang media pertama Annuar selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Selangor, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Perlis.

Annuar berkata, tiga Naib Presiden itu dilantik sebagai penjaga supaya urusan pentadbiran parti terus berjalan.

Katanya, soal polemik parti tidak timbul kerana Presiden UMNO mahu setiap masalah di negeri berkenaan diselesaikan secara konsensus tanpa had masa.

“Tindakan itu bukan bertujuan menghalang pemimpin negeri meneraju kepemimpinan di negeri masing-masing.

“Di Terengganu, hanya tiga ketua bahagian muka lama manakala yang lain adalah pemimpin baharu. Kita kena beri masa kepada mereka.

“Di Perlis dan Selangor ada pendapat berbeza dalam kalangan kepemimpinan. Saya harap perkara ini difahami dan kita mahu maju ke depan. Kita ada banyak kerja dan keutamaan adalah parti, bukan individu,” katanya.

Mengenai bantahan beberapa pihak dalam parti terhadap keputusan itu, beliau berkata, parti bersikap terbuka dan tidak akan mengambil tindakan kerana mereka tidak mendapat maklumat jelas mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) itu.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Presiden UMNO bersetuju dengan keputusan UMNO Sabah melantik Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah menggantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menolak jawatan itu.

Katanya, Salleh menulis surat kepada Presiden parti mengemukakan cadangan supaya dipertimbangkan tidak dilantik dan mahu jawatan itu diberi kepada wakil rakyat negeri berkenaan.

Hasil persetujuan bersama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah kekal dipegang Datuk Seri Datuk Bung Moktar Radin manakala Setiausaha dilantik adalah Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilantik sebagai ahli MT UMNO menggantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang menolak jawatan itu.

Dengan pelantikan Hajiji sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Salleh dilantik sebagai ahli MT.-MY WD