KOTA BHARU, MEI 24:UMNO… UMNO tiada halangan jika ahlinya disiasat sama ada oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selagi ia dilakukan mengikut saluran undang-undang yang betul.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata individu yang melakukan kesalahan semestinya perlu disiasat, namun tidak boleh menganggap seseorang itu bersalah sebelum dibuktikan di mahkamah.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, tiada sesiapa boleh dikecualikan daripada disiasat termasuk pemimpin UMNO atau kerajaan, tetapi ‘rule of law’ mesti dipertahankan.

“Setiap tuduhan seeloknya disiasat. Kita tidak mahu tuduh tanpa siasat atau menghukum (individu itu) tanpa melakukan proses yang betul. Jadi kita kena terbuka dalam hal ini.

“Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan dan kita berharap mereka akan menjadi kerajaan yang baik serta lebih baik daripada kerajaan sebelum ini. Sebagai kerajaan, mereka ada tanggungjawab menguruskan negara termasuk menegakkan undang-undang.

“Jadi, siasatan adalah tanggungjawab kerajaan asalkan dibuat mengikut undang-undang dan peraturan, tidak kira sama ada ahli UMNO atau bukan UMNO,” katanya ketika ditemui di sini.

Ditanya mengenai UMNO yang mungkin menghadapi kesukaran bangkit semula apabila terpaksa bergerak tanpa wang, Annuar menafikan perkara itu, sebaliknya menegaskan banyak parti yang menang tidak mengeluarkan duit.

“Sesiapa yang percaya politik boleh ‘survive’ dengan duit adalah silap kerana ia adalah untuk mereka yang benar-benar sanggup berjuang dalam semua keadaan. Mereka yang percaya politik berasaskan duit itu sebenarnya bukan orang politik.

“Jangan lupa, pada 10 tahun pertama penubuhan, UMNO tiada duit, projek, peruntukan dan kerajaan. Selepas tahun 1957 baru UMNO dapat kuasa. Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru saja ditubuhkan, malah pendaftaran belum sempat disiapkan, tetapi hari ini mereka menjadi kerajaan.

“Saya rasa UMNO perlu belajar keadaan ini, jangan jadi itik patah kaki. Jangan nak berjuang apabila nak jadi wakil rakyat saja,” katanya.-MY WD