PUTRAJAYA, 9 Ogos – Penghormatan….  Republik Maldives dan Presidennya, Abdulla Yameen Abdul Gayoom diberi penghormatan sebagai pemenang Anugerah Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia (HRD)  Asia berikutan daya tahan mereka dan pembangunan berterusan di negara berkenaan.

Anugerah itu, yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diterima oleh Duta Maldives di Malaysia Mohamed Fahmy Hassan, bagi pihak Presiden.

Sementara itu, lima individu dipilih sebagai pemenang anugerah Sumbangan Kepada Masyarakat pada majlis Anugerah HRD Asia 2017 malam tadi.

Mereka ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; bekas Duta Filipina di Malaysia J. Eduardo Malaya; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali; dan Presiden Sri Balaji Society, India Prof (Kol) A. Balasubramaniam.

Ahmad Zahid turut menyampaikan anugerah Sumbangan Kepada Pertubuhan HRD Asia: Sumbangan kepada Komuniti HR selain anugerah ‘Movers and Shakers’. – WD MY