AMPANG, 6 Feb. – ZIARAH…. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang baharu menjalani pembedahan, di rumahnya di Ampang, ketika hubungan kedua-duanya dikatakan retak khususnya selepas pemilihan PKR.

Anwar hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ibrahim sambil ditemani Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bagaimanapun dalam gambar yang dikongsikan Amirudin, tiada reaksi mesra yang diperlihatkan Anwar dan Mohamed Azmin, berbeza jauh dengan kemesraan diperlihatkan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika melawat Timbalan Presiden PKR itu semalam.

Turut sama menemani Mohamed Azmin ialah isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin.

“Saya ditemani isteri bersama Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Shamsul Iskandar menziarahi Datuk Seri Azmin Ali di rumah beliau kira-kira jam 12 tengahari tadi.

“Saya mendoakan agar beliau sembuh dan dapat kembali menjalankan tugas,” kata Amirudin dalam kenyataan ringkasnya kepada media hari ini.

Hubungan antara Anwar dengan Mohamed Azmin yang sewaktu ketika dahulu amat rapat dikatakan sudah berakhir terutamanya selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengkritik Presiden PKR tersebut secara terbuka, yang disifatkan banyak pihak sebagai ‘membakar jambatan’.

Keadaan semakin panas apabila timbul pula khabar angin yang Mohamed Azmin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa menafikan perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga turut menziarahi Azmin Ali.

Hishammuddin ditemani isteri Tengku Marsilla meluangkan masa bersama Azmin dan isteri pada petang tadi. – WD MY