KOTA BAHRU, 28 APRIL – GANTI….. Apabila menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kelak, Anwar Ibrahim menegaskan nasib dan permasalahan rakyat di bawah akan menjadi keutamaannya.

Presiden PKR itu berkata, perkara berkenaan sudah menjadi pegangannya malah menegaskan, beliau dipenjara buat kali pertama pada 1974 lalu kerana membela nasib rakyat dalam Demonstrasi Baling.

“Kita baru 10 bulan, saya ambil alih (jawatan PM) tak tahu bila lagi. Lepas Mahathir jadi perdana menteri, aku (pula),” katanya disambut ketawa orang ramai.

Menurut anggota parlimen Port Dickson itu lagi kenyataan tersebut bukannya dibuat atas rasa sombong.

Katanya semasa Mahathir menjadi perdana menteri kini, banyak masalah yang harus selesaikan terlebih dulu.

“(Apabila tiba) giliran saya, saya akan teruskan dan tak akan lupa bagi tumpuan nasib rakyat. Tak ada guna kalau saya jadi perdana menteri kalau saya tak fikir masalah rakyat.

“Ini fahaman saya, kali pertama saya dipenjara (kerana) isu Baling, isu kemiskinan orang Baling, isu harga getah jatuh dan kerajaan tak ambil peduli. Saya masuk penjara sebab himpun mahasiswa tuntut kerajaan ambil berat,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap di program Bicara Perdana di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Turut tampil sebagai penceramah, Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, dan Pengerusi PKR negeri, Mohamad Suparadi Md Noor.

Sementara itu Anwar turut menangkis pelbagai dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan pembangkang terhadap pentadbiran kerajaan PH.

Menurutnya, PH tetap memartabatkan perjuangan bangsa dan agama sekali gus memelihara kedaulatan perlembagaan negara.

“Ingatlah orang yang memerintah berpuluh tahun dengan kita 10 bulan nak selesaikan semuanya, tapi ada orang kata kita tak jaga perlembagaan.

“Saya nak tanya: kita tukar ke dasar bahasa? Kita tukar ke Islam sebagai agama persekutuan? Kita tukar ke hak keistimewaan orang Melayu? Tidak,” jelasnya di hadapan kira-kira 500 hadirin. – WD MY