BANTING, 29 APRIL – DAKWA….. Proses pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilakukan dengan teliti dan mengikut kedaulatan undang-undang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia tidak semudah ketika beliau didakwa di mahkamah sebelum ini.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji untuk mendukung kedaulatan undang-undang dan tidak mahu mempengaruhi hakim.

“Beberapa bulan lalu kita sibuk nak betulkan, kemudian nak dakwa. Kalau dah salah, kalau seseorang tidak kira menteri, atau peniaga, kalau dia dah curi berbilion duit negara, tentu kita kena dakwa.

“Nak dakwa bekas Perdana Menteri bukan mudah. Ini bukan macam dakwa kes saya dulu… terus masuk jel.

“Kita janji ‘rule of law’, kita janji mahkamah mesti adil, kita janji tidak boleh kuasa dan arah hakim, kita janji mesti ikut fakta, ikut proses, lambatlah jadinya.

“Do we have a choice? We don’t have a choice (Apakah kita ada pilihan? Kita tiada pilihan),” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal anjuran PKR Cabang Kuala Langat di Jenjarom malam tadi.

Anwar pertama kali ditangkap dan didakwa membabitkan kes rasuah dan liwat pada 1998 sebelum dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara bagi kedua-dua kes pada 1999.

Dia dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan mengubah sabitan dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya, sebelum sekali lagi didakwa membabitkan pertuduhan liwat pada 2008.

Selepas PH menubuhkan kerajaan, Anwar menerima pengampunan penuh tanpa syarat daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun lalu.

Anwar menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menggunakan pengalaman dan ketegasannya untuk merungkai skandal kewangan disifatkan media antarabangsa sebagai yang terbesar di mana-mana negara.

Justeru, katanya, sebagai individu berpengalaman menggantikan Najib menerajui negara, Dr Mahathir dapat menjaga ‘kapal baharu’ yang dilanda gelombang.

Anwar turut berseloroh bahawa beliau menyokong kepemimpinan Dr Mahathir supaya mudah baginya mengambil alih pentadbiran negara kelak.

“Saya sokong supaya kapal ini ‘steady’ (stabil) sahaja. Saya ambil alih dalam keadaan ‘steady’ itu lebih mudah begitu, jadi sebab itu PKR beri sokongan,” katanya. – WD MY