KUALA LUMPUR, 1 OKT -UMUM….. PKR malam ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, sebagai Pengerusi PKR Johor yang baharu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan menerusi Facebook malam ini berkata pemilihan Syed Ibrahim itu dilakukan dalam mesyuarat bersama semua ketua cabang PKR di Johor petang semalam.

Syed Ibrahim menggantikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang meletakkan jawatannya dua kali sebelum ini iaitu pada Disember 2018 dan Julai lalu.

“Satu sesi mesyuarat bersama kesemua ketua cabang KEADILAN Johor telah diadakan petang tadi (semalam) bagi memuktamadkan proses pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang baharu,” katanya.

Anwar berkata pemilihan Syed Ibrahim itu dilakukan selepas proses undi dan majoriti ketua cabang memilih Syed Ibrahim sebagai pengerusi baharu.

“Semoga pelantikan ini dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan KEADILAN di Johor dan berharap beliau dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat bersama pimpinan yang lain,” katanya.

Awal hari ini, sumber berkata tiga wakil rakyat PKR disebut bakal dilantik ke jawatan itu iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Abdul Rashid ialah Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) manakala Jimmy adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Bukit Batu) dan juga EXCO Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri. – WD MY