KUANTAN, 15 APRIL – SOKONGAN… Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap pihak yang bergaduh dan bertindak memeriksa kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Sambil menyifatkan tindakan itu sangat biadap dan tidak boleh diterima, beliau juga memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada Biro Disiplin parti sekiranya pihak terbabit adalah ahli PKR.

“Sama ada (mereka) bergaduh atau ada yang pergi ‘check’ kereta polis, saya sebagai Presiden Keadilan tidak pandang ringan dan saya meminta pihak PDRM mengambil tindakan sewajarnya… tidak ada sebab mengapa parti atau pekerja parti bersikap biadap atau angkuh untuk mengambil alih kuasa daripada polis.

“Dan kalau benar ini berlaku, saya akan menyokong segala tindakan tegas daripada pihak polis kerana parti ini adalah parti yang menghormati institusi undang-undang… kita juga sudah rujuk perkara ini kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat PKR Pahang semalam.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melibatkan dua kumpulan dalam PKR selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diumumkan semalam.

Selain itu, turut tular di media sosial hari ini, ialah rakaman video lima lelaki, didakwa penyokong PH memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian. – WD MY