KUALA LUMPUR, NOVEMBER 25: RABUN…Anwar Ibrahim menempelak golongan berserban, agamawan dan akademik kononnya golongan ini membisu ketika skandal kewangan 1MDB berlaku.

Saya kira Anwar telah alami “rabun dekat” atau “tuli badak” bila gagal mengambil maklum peranan alim ulama khasnya pimpinan PAS dalam isu 1MDB.

Barangkali pemikirannya juga mudah dieksploit oleh fitnah sebahagian media sehingga menelan segala pembohongan dan putar belit fakta.

Apakah beliau mahu pimpinan PAS yang berserban dan berijazah itu menjerit dan melaung-laung bagai MP mereka dalam parlimen baru dinilai berperanan dalam menangani isu 1MDB?

Saya juga sambil-sambil melilit serban besar ini, terfikir beberapa soalan untuk Anwar Ibrahim.

Di mana suara lantang beliau ketika skandal kewangan yang terburuk dalam sejarah berlaku di Malaysia sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an? Adakah beliau juga telah menjadi alat perkakas murahan kerana gejolak nafsu untuk menjadi Perdana Menteri?

Anwar menyertai Umno pada tahun 29 Mac 1982. Kemudian, beliau bertanding dan memenangi PRU di Permatang Pauh dan akhirnya dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1982.

Walaupun beliau seorang yang lantang mengkritik kerajaan ketika menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia, tetapi apa yang telah beliau lakukan ketika pelbagai skandal kewangan terbongkar sejak 1981?

Anwar tak perlu tunjuk hero

Di mana Anwar ketika negara mengalami kerugian berjumlah RM1.6 bilion akibat skandal syarikat Maminco (1981)? Di mana Anwar ketika negara diheret kerugian sebanyak RM2.5 bilion dalam kes Bumiputera Malaysia Finance (1983)?

Di mana Anwar ketika negara rugi sehingga RM10 bilion akibat skandal syarikat Perwaja Steel 1988? Di mana Anwar ketika negara menanggung kerugian RM10 bilion dalam isu forex?

Tidakkah ketika semua skandal kewangan negara berlaku, Anwar Ibrahim adalah sebahagian anggota kabinet kerajaan?

Beliau selesa menjawat satu persatu jawatan daripada timbalan menteri di JPM (1982), kemudian menteri kebudayaan, belia dan sukan (1983), menteri pertanian (1983), menteri pendidikan (1986), menteri kewangan (1991) sehingga dilantik menjadi timbalan perdana menteri (1993).

Setelah dipecat daripada kerajaan dan Umnno, barulah beliau dilihat gigih melawan regim Tun Dr Mahathir pada waktu itu.

Sebelum memenangi PRU Ke-14, Pakatan Harapan berjanji untuk menubuhkan satu suruhanjaya untuk menyiasat Tun Dr Mahathir. Di mana pula suruhanjaya siasatan sekarang?

Anwar tidak perlu tunjuk hero dan menghentam orang lain dalam isu 1MDB kerana beliau 10 kali lebih teruk daripada itu.

Kalau rumah kita berdinding kaca, jangan melontar batu ke rumah orang.-MY WD