AYER KEROH, 14 OKT – PANDANG….. Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pegawai dan pemimpin dalam kerajaan yang mengambil ringan soal penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap program, termasuk sidang media.

Presiden PKR itu berkata, sikap itu bukan sahaja menjejaskan imej bahasa kebangsaan, malah melambangkan pendirian yang tidak tetap sesetengah pemimpin berkenaan.

“Kita pernah menegur (sebelum ini), kita lihat dalam beberapa sidang media, (mereka menggunakan) entah dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu pun tak lengkap, Bahasa Inggeris pun campur aduk.

“Ia sebenarnya tidak melambangkan pendirian tegas. Jadi saya dah syorkan kepada mereka, mulakan dalam semua sidang dan kenyataan dalam Bahasa Melayu yang lengkap dan kemudian kalau ada keperluan menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris atau menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam sidang bicara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara sempena Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata sudah sampai masanya setiap pemimpin kerajaan, mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap program yang dianjurkan di peringkat kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Dasar Kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya boleh dilaksanakan jika Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara antarabangsa.

“Ini dasar Pakatan Harapan (PH), saya cuma tegaskan dan mengingatkan semua supaya sentiasa mengamalkannya,” katanya. – WD MY