KUALA LUMPUR: PAKATAN…Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta melakukan pembaharuan ekonomi adalah tidak realistik dengan keadaan semasa ketika ini.

“Itu (janji PH) adalah fantasi. Tak mungkin mereka boleh melaksanakannya,” katanya dipetik dalam wawancara bersama Malay Mail.

Najib berkata demikian ketika merujuk pada janji PH untuk membuat pengecualian dan penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak.

Najib turut menyatakan keraguannya terhadap langkah mengurangkan GST kepada sifar, langkah sementara yang diumumkan HARAPAN dalam penghapusan cukai berkenaan.

“GST sifar bukan apa yang mereka janjikan. GST sifar boleh juga bererti anda boleh tambah bila-bila masa,” katanya.

Najib turut menyifatkan laporan yang mengatakan pentadbirannya gagal sebagai percubaan PH memburukkan imejnya.

(Sedangkan) sebelum itu mereka kata ekonomi dalam keadaan teruk, kita sedang bankrap dan Malaysia perlu diselamatkan.

 

“Adakah mereka cuba katakan bahawa ekonomi pulih dengan secepat itu? Simpanan kewangan kukuh dan kita ada pertumbuhan yang baik?

 

“Tidak! Ini adalah kenyataan yang dibuat tiga hari selepas pilihan raya,” katanya dan menambah bahawa ekonomi sememangnya berada dalam keadaan baik ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).-MY WD