KUALA LUMPUR, JAN 13: PERUNTUKAN…Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoalkan pemberian bantuan kewangan oleh Kementerian Pendidikan kepada kolej swasta, Kolej Universiti New Era.

Menurut Khairy, semasa pembentangan Belanjawan 2019 tidak disebut sebarang pemberian bantuan kepada kolej universiti swasta.

Tegas Khairy, semasa pembentangan hanya disebut pemberian bantuan kepada sekolah menengah persendirian Cina yang sememangnya dibantah beliau.

“Semasa pembentangan belanjawan, memang ada sebut bantuan untuk sekolah menengah persendirian Cina yang memang saya bantah. Tidak ada sebab kerajaan bagi duit kepada sekolah swasta.

“Tapi tak disebut bantuan untuk Kolej Universiti New Era. Atas sebab apa kolej swasta juga dapat bantuan kewangan? tanya Khairy dalam satu hantaran di Facebook beliau semalam.

Khairy turut berkongsi gambar ‘Majlis Penyampian Peruntukan 2019 Kepada Kolej Universiti New Era dan Sekolah Menengah Persendirian Cina’ pada hantaran tersebut.

Dalam gambar itu kelihatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sedang menyerahkan cek berjumlah RM193,000 sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Pada 6 Januari lalu, The Star melaporkan Nie Ching berkata, kementerian akan menyerahkan peruntukan berjumlah RM12 juta kepada sekolah persendirian Cina seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2019.

Menurut Nie Ching, penyerahan akan dilakukan oleh Guan Eng.-MY WD