KUALA LUMPUR, MEI 15:BERCUTI…Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, diarahkan bercuti serta-merta, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, dipendekkan kontrak perkhidmatan serta ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mulai semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pula memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan agensi itu berkuat kuasa semalam, dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara mulai hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tugas Peguam Negara kini dijalankan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Terbabit perbuatan salah laku

Perdana Menteri menegaskan, arahan supaya Mohamed Apandi bercuti diambil berikutan ada laporan menyatakan peguam negara terbabit dalam perbuatan salah laku.

“Memandangkan ada masalah dengan AG (Peguam Negara), AG akan bercuti dan tempatnya akan diambil Peguam Cara Negara (Engku Nor Faizah).

“Peguam Cara Negara sememangnya berkuasa menjalankan tugas AG. Proses pengampunan itu (terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan disertai Peguam Cara Negara,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan menggantung tugas Mohamed Apandi kerana kontrak Peguam Negara itu baru sahaja diperbaharui.

“Soal kedudukan AG ini, beliau baru dilanjutkan kontraknya. Maka kita perlu ikut undang-undang, beliau hanya boleh digantung tugas, jika ada tuduhan dan disiasat.

“Perlu ada laporan dan berasaskan itu, baharu ada siasatan. Apabila siasatan dibuat, barulah tindakan boleh diambil, sama ada untuk menggantung tugas, termasuk sekatan keluar negara. Sebab itu kita hendak dia diberi cuti, sementara bercuti, Peguam Cara Negara ambil alih tugas dia,” katanya.

Mengulas kekosongan jawatan ditinggalkan Dzulkifli, Perdana Menteri berkata, beliau mengadakan perjumpaan dengan beberapa individu, termasuk bekas pegawai kanan SPRM, semalam dan penggantinya akan diumumkan hari ini.

Bincang kes berprofil tinggi

Dr Mahathir berkata, perjumpaan semalam, turut membincangkan mengenai kes berprofil tinggi, termasuk membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah disiasat pegawai kanan berkenaan.

Mengulas sama ada Dzulkifli dikenakan sekatan ke luar negara, Dr Mahathir berkata, perkara itu terpulang kepada siasatan dan kerajaan baharu yang diketuainya tidak akan mengambil tindakan melulu.

“Itu keputusan dia. Dia boleh letak jawatan dan sama ada hendak pergi bercuti,” katanya yang tidak pasti jumlah pegawai kerajaan disekat daripada keluar negara, selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya tidak pasti berapa orang yang perlu disekat keluar negara, bukan sahaja Datuk Seri Najib dan Rosmah, tetapi beberapa pegawai, sebaliknya Jabatan Imigresen sudah dimaklumkan mereka ini tidak dibenarkan ke luar negara,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata kontrak perkhidmatan Mohd Irwan dipendekkan oleh kerajaan kepada 14 Jun ini dan ditempatkan di JPA berkuat kuasa serta-merta mulai semalam sehingga tamat tempoh itu.

“Kerajaan memutuskan perkhidmatan kontraknya dipendekkan berkuat kuasa mulai 14 Jun ini. Sehubungan itu, beliau (Mohd Irwan) tidak lagi dibenarkan menjalankan tugasnya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan apa-apa yang berkaitan dengan kementerian itu,” katanya.

Ali berkata, sebelum ini, Mohd Irwan dilantik secara kontrak sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa 7 Mac tahun lalu hingga 6 Mac 2019.- MY WD