PUTRAJAYA, 16 April – Datuk Seri Hassan Malek selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini melancarkan aplikasi Ez-ADU bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan mengenai isu-isu kepenggunaan melalui telefon pintar.

Menurut Hasan Malek, aplikasi itu dibangunkan bagi menangani isu pencatutan dan menjadikan pengguna sebagai perantara bagi kementerian memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dalam kalangan peniaga.

“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengambil gambar yang terus dimasukkan kepada sistem KPDNKK untuk memudahkan kita membuat siasatan.

“Tempoh siasatan bergantung kepada jenis aduan, ketepatan maklumat, situasi dan lokasi aduan itu dibuat. Lebih tepat aduan, lebih mudah kita siasat,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi itu, di sini.

Tambah Hasan, buat masa ini aplikasi itu boleh dimuat turun melalui gedung aplikasi Playstore bagi pengguna Android 3.0 ke atas.

Ez-ADU didatangkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang dilengkapi dengan 10 ciri utama termasuk pilihan tetapan log masuk automatik, semakan status dan sejarah aduan, mengambil gambar bukti kesalahan dan perkhidmatan ‘geotag’ bagi mengenal pasti lokasi kesalahan.

Selain disambungkan terus kepada sistem KPDNKK, aplikasi itu juga mesra pengguna dengan panduan penggunaan secara tutorial visual.

Pengguna juga hanya perlu mendaftar sekali sahaja dengan memasukkan nama, e-mel, nombor telefon, kata laluan, pengesahan kata laluan dan nombor kad pengenalan.
Skrin utama aplikasi itu turut mempunyai ikon pautan ke pelbagai laman rasmi kementerian seperti portal KPDNKK, Facebook, Twitter dan YouTube.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 264 pegawai penguatkuasa KPDNKK yang terdiri daripada calon kenaikan pangkat, calon kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) dan juga lantikan baharu.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY