KUALA LUMPUR, 10 Jan – SASAR….. Pemboleh e-pembayaran barangan dan perkhidmatan dalam talian, MOL AccessPortal Sdn Bhd (MOL), menyasar memperluaskan aplikasi dompet mudah alihnya, One2pay, ke 6,000 titik sentuh penerimaan dalam tempoh setahun.

Aplikasi One2pay yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia menggunakan pembayaran kod kod bar/QR dan membolehkan rakyat Malaysia membayar di kedai runcit, membeli belah dalam talian, membayar bil dan menghantar wang kepada satu sama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MOL Global Inc., Preecha Praipattarakul berkata buat permulaan, pengguna boleh menggunakan aplikasi dompet mudah alih untuk membayar di kedai 7-Eleven di kawasan Lembah Klang.

“7-Eleven Malaysia merupakan peruncit pertama menerima aplikasi One2pay dan ia adalah satu pencapaian penting kepada kami untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai.

“Menjelang 17 Jan, semua 2,218 kedai 7-Eleven di seluruh Malaysia akan menerima One2pay,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran aplikasi One2pay dan majlis permeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara MOL dan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corporation) bagi kerjasama dalam memperkenalkan gerbang pembayaran elektronik mudah alih dan e-dompet yang disokong MOL kepada komuniti perniagaan dan usahawan.

Praipattarakul berkata, MOL ketika ini sedang berbincang dengan syarikat runcit lain termasuk yang terlibat dalam perkhidmatan makanan dan minuman, serta sektor hospitaliti di Malaysia bagi meluaskan lagi penggunaan aplikasi Open2pay.

“Pada bulan-bulan akan datang, Starbucks, Wendy’s, Rasa Utara, Cosway dan Kenny Rogers Roasters di Malaysia akan mula menerima pembayaran dompet mudah alih,” katanya sambil menambah MOL merancang untuk mengembangkan pembayaran aplikasi One2pay ke Thailand dalam suku keempat pada 2018. – WD MY