KUALA LUMPUR, 26 Mac – Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof
hari ini melancarkan Aplikasi Mobile Aduan Jalan KKR bagi pengguna jalan raya
menyalur aduan mengenai jalan rosak.

Menurut beliau, aplikasi saluran aduan menggunakan telefon pintar
itu merupakan alternatif kepada aduan sedia ada dan bersifat mesra pelanggan.

“Aplikasi baru ini selaras dengan perkembangan teknologi dan peningkatan
pengguna telefon pintar di Malaysia dan merupakan pendekatan proaktif KKR dalam
memastikan usaha aduan kerosakan infrastruktur jalan raya dapat disalurkan
dengan mudah.”

Beliau ditemui media selepas melancarkan aplikasi itu sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian
berkenaan hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini mempunyai beberapa sistem aduan seperti
menerusi e-mel, telefon, dan talian bebas tol.

Tambah Fadillah, “Kini pengguna sistem operasi Android boleh memuat naik secara percuma
aplikasi ini daripada App Store untuk sistem operasi iOS dan Play Store.”

Pengguna yang ingin membuat aduan hanya perlu menghantar gambar dan lokasi
aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan seterusnya menghantar
aduan.

Aplikasi Mobile ini membolehkan aduan yang diterima diproses dengan cepat
dan lebih sistematik, begitu juga maklum balas kepada pengadu akan dapat
diberikan dengan segera.

“KKR terbuka untuk mendengar semua aduan daripada masyarakat sebab kita
percaya dan berusaha memberi yang terbaik kepada masyarakat iaitu keadaan jalan
yang selamat dan selesa,” katanya.

Statistik aduan berkenaan yang diterima daripada pelbagai saluran
mencatatkan sebanyak 6,755 aduan pada tahun 2013, 5,124 pada tahun 2014
manakala sehingga Februari tahun ini sebanyak 1,007 aduan.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY