PUTRAJAYA, 2 Mei – Wujudkan….. Pihak Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) memperkenalkan Aplikasi MyDI sebagai satu inisiatif bagi membantu dan memudahkan orang ramai menyemak status muflis atau kebankrapan melalui telefon pintar bermula 11 Mei ini kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata aplikasi itu boleh digunakan bagi menyemak status muflis individu atau syarikat dan memudahkan orang awam untuk berurusan secara dalam talian, sekali gus meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan.

Jelas beliau, aplikasi MyDI ini sejajar dengan dasar strategi transformasi Mdi dengan perkembangan perundangan antarabangsa dan peredaran zaman bagi menangani isu serta permasalahan berkaitan muflis yang semakin meningkat.

“Jabatan Insolvensi juga akan mengadakan program Jelajah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 pada 11 Mei ini bermula di Johor Bahru, Johor.

“Ia bertujuan memperjelaskan kepada orang ramai mengenai pindaan berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jelajah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 & Aplikasi MyDi di bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini hari ini.

Pada 21 November tahun lalu Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) dipinda melalui Rang Undang-Undang Kebankrapan 2016 (RUUK pindaan 2016) dan dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama dan dilulus Dewan Rakyat pada 29 Mac 2017 serta Dewan Negara pada 26 April lalu.

Sejumlah lapan perubahan dasar diluluskan iaitu perlindungan penjamin sosial, petisyen kebankrapan, mekanisma penyelamat, nilai minimum Kebankrapan dinaikkan, pelepasan automatik, pelepasan bankrap tanpa bantahan pemiutang, sistem satu perintah kebankrapan serta Tabung Bantuan Insolvensi.

Azalina berkata, aplikasi itu memudahkan orang ramai menyemak status kebangkrapan dengan secara cepat lagi tepat terutama bagi mereka yang ingin mencari pekerjaan atau membuat pinjaman bank.

Jelas beliau, RUUK Pindaan 2016 itu lebih bersifat seimbang dalam menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemiutang, penghutang dan mereka yang diisytihar muflis.

Katanya, pelaksanaan RUUK pindaan 2016 memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam isu muflis untuk bersama-sama menjayakan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50). – WD MY