LANGKAWI, 23 Mac – Kurangkan Jenayah…… Rakan Maritim (RAKAM) 2.0 dan aplikasi Keselamatan, Kesedaran dan Komuniti Maritim (K3M) yang dilancarkan hari ini diyakini mampu merapatkan golongan nelayan dengan pihak keselamatan dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah di laut.

Majlis pelancaran RAKAM 2.0 dan aplikasi K3M itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai sebahagian acara melalui segmen maritim sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA’17) di Resort World Langkawi di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui kenyataan media berkata, RAKAM 2.0 adalah usaha kolaborasi TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam penyaluran maklumat berkaitan insiden di laut.

“RAKAM 2.0 adalah satu inisiatif dalam meluaskan rangkaian penerimaan maklumat berkaitan maritim dan mempertingkatkan masa tindakan membabitkan kedua-dua agensi.

“Ini kerana golongan nelayan adalah pelaut barisan hadapan pesisiran pantai dan mereka sering terdedah dengan ancaman pelanunan, rompakan, keadaan cuaca dan gelombang lautan yang tidak menentu,” katanya.

Pada majlis sama, Hishammuddin menyampaikan telefon bimbit yang mengandungi aplikasi K3M kepada lapan penerima terdiri daripada pemimpin persatuan nelayan, operator feri, ketua jabatan kerajaan dan swasta yang ada kaitan dengan tugas di laut.

Menteri Pertahanan turut meluangkan masa kira-kira 10 minit menyaksikan beberapa formasi menarik dan kemahiran menggunakan senjata oleh PROVOS Tentera Laut dalam acara kawad bersenjata.

Seterusnya beliau berlepas ke Porto Malai bagi membalas tabik hormat pada acara Perbarisan Armada Antarabangsa yang disertai 42 armada tentera laut dari pelbagai negara yang menyertai LIMA 2017. – WD MY