KUALA LUMPUR, 19 Jan – Whatsapp…… Bagi Penggunaan teknologi komunikasi terkini
seperti aplikasi WhatsApp secara berkumpulan menjadi satu daripada kaedah
terbaharu dalam membanteras jenayah seperti kes pecah rumah, ragut dan curi
kenderaan.
Ia berkesan terutama dalam satu kawasan perumahan atau taman
tertentu, selain kaedah konvensional seperti rondaan kawasan dan pondok
keselamatan oleh pasukan polis dan persatuan penduduk.

Maklumat yang disampaikan melalui WhatsApp berkumpulan yang disertai penduduk sesuatu komuniti dilihat mampu menyelamatkan sesebuah kediaman daripada dipecah masuk pencuri dengan bantuan penduduk malah pasukan keselamatan juga dapat bertindak segera sebaik maklumat diterima.

Sebagai contoh, keprihatinan penduduk di sekitar Taman Keramat AU2, di sini
dalam berkongsi maklumat berkaitan kejadian pecah rumah menerusi kumpulan
aplikasi WhatsApp wajar menjadi ikutan komuniti lain sebagai langkah
berkesan mencegah jenayah itu.
Menurut Ketua Penggerak Komuniti dan Keselamatan AU2 Ismail Mohd Rashid, 46,
idea itu tercetus selepas mendengar keluhan penduduk yang sering menjadi
mangsa kejadian pecah rumah sejak beberapa tahun lepas.

Ismail berkata beliau bersama penduduk yang lain mula menubuhkan satu
kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘Keselamatan AU2’ dan disertai ratusan
penduduk serta pihak polis yang mengawasi kawasan kejiranan itu pada 2015.

Beliau berkata penubuhan kumpulan WhatsApp itu bertujuan untuk memudahkan
penduduk berkomunikasi dengan berkongsi sebarang maklumat tentang perkara
mencurigakan dan masalah yang dihadapi berhubung keselamatan komuniti.
“Sejak persatuan penduduk di sini sering bekerjasama dalam usaha membanteras
kes kecurian, tiada lagi kami dengar ada kejadian kes pecah rumah berlaku.
“Mungkin juga kerana kawasan kejiranan ini turut mula aktif melakukan
rondaan cegah jenayah Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di bawah Kawasan Rukun
Tetangga (KRT) secara berkala,” katanya.
Beliau berkata penduduk yang melakukan rondaan di kawasan perumahan itu juga
mengeluarkan notis peringatan kepada penduduk yang selalu terlupa mengunci rumah
dan sebagainya. – WD MY