BENGALURU, 20 JUN – PINDAH…… Apple Inc meminta pembekal utamanya untuk menilai implikasi kos untuk memindahkan 15-30 peratus keupayaan pengeluaran mereka dari China ke Asia Tenggara, ketika mana ia bersiap sedia menyusun semula rantaian bekalannya, demikian menurut laporan Nikkei Asian Review Rabu.

Permintaan Apple itu susulan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, tetapi resolusi perdagangan tidak akan membawa kepada perubahan dalam keputusan syarikat, kata Nikkei yang menyebut beberapa sumber.

Pengeluar iPhone itu memutuskan risiko bergantung kepada pembuatan di China adalah terlalu besar dan bahkan meningkat, katanya.

Pemasang utama iPhone, seperti Foxconn; Pegatron Corp; Wistron Corp; pengeluar utama MacBook, Quanta Computer Inc; pengeluar iPad, Compal Electronics Inc; dan pengeluar AirPods, Inventec Corp, Luxshare-ICT dan Goertek diminta untuk menilai opsyen di luar China, kata Nikkei.

Negara-negara yang dipertimbangkan termasuk Mexico, India, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

India dan Vietnam adalah antara destinasi pilihan dalam kalangan pengeluar telefon pintar, kata Nikkei, memetik sumber-sumber yang tidak mahu dikenal pasti.

Minggu lalu, Foxconn berkata ia mempunyai kapasiti yang mencukupi di luar China untuk memenuhi permintaan Apple di pasaran Amerika sekiranya syarikat itu perlu menyesuaikan barisan pengeluarannya, ketika mana Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan ke atas import China bernilai AS$300 bilion.

China adalah pasaran utama Apple, selain pusat pengeluaran utama perantinya.

Lebih 30 individu daripada pasukan kajian perbelanjaan modal Apple merundingkan rancangan pengeluaran dengan pembekal dan kerajaan berhubung insentif kewangan yang boleh ditawarkan untuk menarik perhatian Apple, kata laporan itu.

Batasan waktu tidak ditetapkan untuk pembekal memuktamadkan cadangan perniagaan mereka, kata Nikkei, sambil menambah ia akan memakan masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk memulakan pengeluaran setelah memilih lokasi.

Apple dan Foxconn tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan untuk memberi ulasan berhubung laporan itu. – WD MY