KLUANG, 10 Feb – BINA…..  Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebanyak RM97 juta subsidi diperuntukkan Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 24 hektar di Paloh bagi menjayakan agenda berkenaan.

Agenda Pembangunan Perumahan Sembrong (APPS) menyasar pembinaan 2,000 unit rumah, khusus untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Ahli Parlimen Sembrong itu yang juga Menteri Pertahanan, berkata APPS tepat pada masanya yang diwujudkan bertujuan meneliti perancangan pembangunan perumahan di kawasannya, supaya sentiasa berada di landasan tepat.

“Agenda ini diletakkan di bawah Kluster Perumahan yang mana ia merupakan salah satu daripada tujuh kluster yang saya sendiri gariskan demi membela nasib dan kebajikan warga Sembrong.

“Terima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar, serta kepemimpinan Johor kerana sudi bersama-sama dalam majlis pada hari ini.

“lni menunjukkan komitmen dan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif yang dilaksanakan di Sembrong, khususnya berkaitan aspek Perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan APPS Sembrong – Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Tapak Perumahan PPR Felcra Sungai 10, Paloh Kluang, Johor hari ini.

Hishammuddin berkata menerusi agenda perumahan itu, sebanyak 500 unit rumah PPR di bawah KPKT dan 500 unit di bawah Kerajaan Negeri Johor selain 550 unit Rumah Mesra Generasi Baru Felda di enam tanah rancangan sekitar Sembrong bakal dibina.

“Projek perumahan ini turut meliputi pembinaan infrastruktur asas seperti dewan, masjid, taman permainan dan sekolah.

“Projek ini akan bermula awal tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, agenda berkenaan berupaya memastikan kediaman yang selesa dan kondusif khususnya kepada rakyat Sembrong dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Malah, kita juga akan pastikan semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam setiap projek memikul amanah dan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya,” katanya. – WD MY