RIYADH, 14 Okt – KAGUM…..Kerajaan Arab Saudi kagum dengan langkah dan
kaedah yang digunakan Malaysia dalam menangani aktiviti keganasan yang
dicetuskan pelbagai kumpulan militan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, pengiktirafan itu diperoleh setelah
prosedur operasi standard (SOP), yang dilaksanakan pasukan keselamatan Malaysia
dalam membendung kumpulan militan sejak zaman komunis pada 1948, dibukukan dalam
bahasa Arab dan diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi.

“Kedua-dua negara bersetuju bahawa masalah keganasan yang mencetuskan imej
tidak baik terhadap Islam oleh bukan Islam atau Islamophobia perlu ditangani
secara bersama,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

zahid-arab1

Beliau memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan
pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Abdulaziz Al-Saud, yang juga
rakan sejawatan dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Ahmad Zahid berkata justeru itu, Malaysia akan terus mengadakan program
deradikalisasi dalam usaha memerangi keganasan serta proses pemulihan terhadap
golongan ekstremis.
“Kami turut bertukar pengalaman dalam program deradikalisasi untuk
memastikan mereka (tahanan) kembali menjalani kehidupan normal bersama keluarga
dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya Malaysia juga berkongsi pengalaman dalam menangani dan
memulihkan pengganas komunis selain kejayaan membendung kegiatan militan
termasuk Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiah, Al-Qaeda serta
Daesh. – WD MY