DUBAI, 4 Okt – JAMINAN…… Menteri Kewangan Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka menandatangani satu perjanjian esok, bagi menyediakan jaminan kredit dan dana kepada Jordan.

Mengikut perjanjian yang bakal ditandatangani di Amman itu, kesemua negara Teluk berkenaan akan mendepositkan dana terbabit menerusi Bank Negara Jordan.

Pada Jun lalu, ketiga-tiga negara terbabit bersetuju menyumbang dana sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.34 bilion), bagi membantu Jordan membiayai pelbagai langkah penjimatan, yang menimbulkan bantahan besar-besaran di negara itu.

Beberapa siri bantahan itu mencetuskan kebimbangan negara teluk kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan sekutu rapat Amerika Syarikat berkenaan, sekali gus bakal mengancam keselamatan mereka.

Menurut data Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), peranan Jordan dalam memastikan kestabilan geopolitik di Asia Barat, menyebabkan negara itu menjadi salah satu penerima dana bantuan per kapita tertinggi di dunia. – WD MY