RIYADH,JUN 25:PINTAS…. Arab Saudi mengesahkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dua peluru berpandu yang disasarkan ke arah ibu negara itu semalam, yang dipercayai ditembak dari wilayah dikuasai pemberontak di Yaman.

“Dua peluru berpandu yang ditembak oleh pemberontak Houthi berjaya dipintas di ruang udara Riyadh,” lapor stesen televisyen tempatan, Al-Ekhbariya tanpa mendedahkan sama ada terhadap kerosakan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu.

Sementara itu, wartawan AFP yang berada di sini, berkata sekurang-kurang empat bunyi letupan kedengaran di Riyadh, yang sebelum ini turut menjadi sasaran pemberontak Houthi, manakala penduduk pula melaporkan mereka melihat cahaya terang di langit.

Menurut sumber diplomatik kepada AFP, serpihan logam kelihatan bertaburan di kawasan diplomatik di Riyadh, yang menempatkan pelbagai bangunan kedutaan, malah jalan menuju ke lokasi terbabit turut dikawal pihak keselamatan.

Namun, rangkaian berita pemberontak Houthi, Al-Masirah berkata, peluru berpandu itu berjaya menyebabkan kerosakan pada bangunan yang menempatkan Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan lokasi lain di ibu negara itu, namun dakwaan itu ditolak pihak kementerian terbabit.

Pihak pemberontak sering mendakwa kejayaan serangan ke atas Arab Saudi, namun sebaliknya, pihak berkuasa negara itu, sering menafikan dakwaan berkenaan. – MY WD