KUALA LUMPUR, NOVEMBER 20: ARMADA..Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan atas tindakannya yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Gesaan melalui Biro Pendidikan ARMADA itu turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang disifatkan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

EXCO ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata Waytha Moorthy bukan saja hilang ‘locus standi’ bagi membicarakan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), malah perlu memohon maaf atas perlakuannya.

Beliau berkata, ARMADA memandang serius kenyataan pernah dibuat oleh Waytha Moorth yang didakwa menampakkan ‘wajah sebenarnya’ yang tidak berpegang pada tunjang kedaulatan negara.

“Tuduhan beliau bahawa penganut Hindu ‘dipaksa’ meninggalkan agama Hindu di negara ini, adalah sangat berat, berunsur hasutan dan bertentangan dengan praktik Perlembagaan Persekutuan, malah mampu mencetus ketegangan serantau domestik dan antarabangsa.

“Perkara 3 mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan penganut lain bebas mempraktikkan sama ada dari segi adat serta kepercayaan, dihormati setiap kaum di Malaysia, terutama Melayu Bumiputera di tanah pusaka ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam