PELABUHAN KLANG, 7 Okt – Kapal China…..Armada Tentera Laut Republik Rakyat China (PLAN-N) berlabuh di Jeti Boustead Cruise Centre di sini, hari ini, dalam rangka lawatan empat hari ke negara ini.

Kapal CNS Xiang Tan, CNS Zhou Shan dan CNS Chao Hu bersama 749 pegawai serta anak kapal itu singgah ke negara ini selepas selesai melaksanakan misi di Teluk Aden.

Pegawai Komunikasi Strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Ismail Othman, berkata kunjungan muhibah itu bertujuan ulang bekal dan beristirehat, termasuk meningkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang ketenteraan.

“Rangka lawatan ini juga adalah satu inisiatif diplomasi pertahanan yang akan menyumbang kepada perhubungan dua hala antara TLDM dan PLAN-N. Selain bertukar maklumat dalam isu keselamatan, kunjungan ini juga menyokong hala tuju Kementerian Pertahanan melalui teras diplomasi pertahanan.

“Kehadiran PAN-N juga akan memperkukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara, selain dapat saling bertukar pandangan,” katanya di sini.

Terdahulu ketibaan armada PLAN-N yang diketuai oleh Timbalan Ketua Kakitangan Armada Laut Timur, Kapten Senior Wang Hongli disambut oleh Ismail, Pegawai Perantaraan TLDM, Kapten Chan Pen Cheong dan kakitangan Kedutaan China di Malaysia.

Kapal CNS Xiang Tan dan CNS Zhou Shan adalah jenis Frigat, manakala CNS Chao Hu adalah kapal pengangkut minyak. – WD MY

LEAVE A REPLY