KUALA LUMPUR, 10 JUN – SERANG….. Penyanyi To’ki, 54, selamat menjalani pembedahan selepas tangan kirinya cedera parah diserang tiga lelaki dalam satu kejadian, kira-kira jam 8 malam, semalam.

To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Gombak dari sebuah pusat beli-belah di Selayang.

“Ketiga-tiga lelaki itu mahu merampas barangan dalam bakul motosikal saya, sedangkan saya tidak membawa barangan berharga, selain alatan melukis.

“Kejadian itu membuatkan urat di tangan kiri saya terputus dan kecederaan yang saya alami agak parah,” katanya kepada BH Online.

To’ki berkata, dia seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan selamat menjalani pembedahan, petang tadi.

Penyanyi lagu Biasan itu bagaimanapun, tidak berhasrat untuk membuat laporan polis dan enggan memikirkan lagi kejadian itu memandangkan dirinya sudah selamat.

“Alhamdulillah, saya selamat dan Allah panjangkan lagi umur saya. Biarlah Allah menguruskan mereka.

“Sebagai manusia yang juga pernah buat salah, jadi saya maafkan mereka. Saya juga tidak berniat membuat laporan polis. Cuma, saya berharap peristiwa buruk seperti itu tidak lagi berulang,” katanya.

– WD MY