WASHINGTON, OKTOBER 3:PASANGAN GAY…. Pentadbiran Presiden Donald Trump tidak lagi mengeluarkan visa keluarga kepada pasangan tempatan sesama jenis diplomat asing atau kakitangan pertubuhan antarabangsa yang bekerja di Amerika Syarikat (AS), kata pegawai Jabatan Negara semalam.

Perubahan itu menarik kritikan tajam daripada penyokong hak asasi gay termasuk yang bekerja untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ia juga terpakai kepada mereka yang bekerja di AS untuk Bank Dunia, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan kumpulan lain.

Perubahan itu berkuat kuasa Isnin lalu. Kakitangan PBB dimaklumkan dalam satu memorandum bulan lalu, hanya pasangan sesama jenis berkahwin yang mahu menemani pegawai baharu tiba ke AS, layak memperoleh visa G-4.

Mengikut peraturan baharu Jabatan Negara, pasangan asing perlu mengemukakan bukti perkahwinan untuk memperoleh visa keluarga diplomatik. Namun hanya kumpulan kecil daripada sejumlah 193 negara anggota PBB mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Jika perlu, pegawai Jabatan Negara berkata, penyelesaian undang-undang perlu dibincangkan berdasarkan kes untuk pasangan yang dilarang berkahwin di negara asal.

Visa berkenaan dikeluarkan untuk anggota keluarga dan tanggungan diplomat serta kakitangan pertubuhan antarabangsa, diberi kepada pasangan sesama jenis tempatan serta pasangan berkahwin secara rasmi di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.

Pasangan domestik sesama jenis diplomat dan kakitangan yang sudah memiliki visa keluarga G, perlu menghantar bukti perkahwinan menjelang akhir tahun untuk melayakkan ia diperbaharui.

Jika pasangan tertentu gagal menghantar bukti perkahwinan, pasangannya terpaksa meninggalkan AS dalam tempoh 30 hari daripada tarikh tamat hujung tahun, kata memo PBB.

Visa kategori G dikeluarkan kepada hampir semua diplomat asing, pegawai kerajaan dan kakitangan bekerja untuk pertubuhan antarabangsa di AS, serta tanggungan mereka.

Pegawai Jabatan Negara yang memberi taklimat kepada media semalam berkata, perubatan peraturan itu menjejaskan kira-kira 105 keluarga diplomat asing dan kakitangan di AS, 55 dengan pertubuhan antarabangsa dan bakinya di kedutaan dan misi diplomatik lain-MY WD