WASHINGTON, 2 Mei – Sistem Pertahanan……. Pihak Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) yang dipasang di Korea Selatan dan menimbulkan kemarahan China sudah mula beroperasi.

Ia berikutan persetujuan yang dicapai antara Washington dan Seoul untuk memasang sistem THAAD yang dijangka selewat-lewatnya Julai depan, bagi menangkis ancaman ujian senjata Korea Utara.

Pasukan tentera AS di Korea Selatan berkata, THAAD sudah memulakan operasi dan mampu untuk memintas senjata dari Korea Utara.

Bagaimanapun, pegawai pertahanan Amerika Syarikat memberitahu AFP, ketika ini sistem itu hanya mampu mencapai keupayaan asas ketika membuat pintasan.

Katanya, keupayaan asas itu akan dipertingkatkan menjelang akhir tahun ini, selepas perkakasan tambahan dan lain-lain komponen tiba bagi melengkapi sistem berkenaan.

China meluahkan rasa tidak puas hati dengan langkah memasang THAAD, kerana khuatir ia akan melemahkan keupayaan senjata balistiknya, selain menjejaskan kestabilan keselamatan serantau. – WD MY