KUALA LUMPUR, 21 Nov – Berkembang…. Aset perbankan Islam di Malaysia berkembang kukuh dengan kini mewakili 27 peratus keseluruhan sistem perbankan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pertumbuhan itu juga melepasi paras sasaran asal 20 peratus yang ditetapkan Bank Negara Malaysia dalam Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia.

Beliau berkata, selepas kurang daripada empat bank Islam dan pengendali takaful sebelum tahun 2000, hari ini terdapat 27 peserta yang menawarkan lebih 100 produk kewangan melangkaui tawaran produk asas.

“Kewangan Islam juga menyediakan kewangan kepada semua lapisan masyarakat tanpa kira kepercayaan, kaum dan jantina.

“Terdapat penerimaan kukuh terhadap takaful dengan kadar penembusan meningkat kepada 14.8 peratus daripada jumlah penduduk,” katanya merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13, di sini, hari ini.

Teks ucapan Timbalan Perdana Menteri itu dibacakan oleh Pengerusi Raeed Holdings Sdn Bhd, Datuk Zamani Abdul Ghani.

Zahid berkata, industri kewangan Islam masih kecil jika dibandingkan dengan potensi pasarannya dengan lebih satu bilion orang Islam di seluruh dunia.

Justeru, katanya, masih terdapat ruang yang besar untuk mengeksploitasi industri berkenaan sepenuhnya. -WD MY