BUTTERWORTH, 15 Mac – ¬†ASPEK….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha menggabungkan aspek kepolisan moden dengan kepolisan komuniti harus dipertingkatkan bagi menangani jenayah dan menjaga ketenteraman awam.

Beliau berkata usaha ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan menyeluruh yang berteraskan teknologi.

“Kepolisan moden ini bukan sekadar berpakaian kemas semata-mata tetapi aset dan peralatan yang moden.

Dengan berbekalkan kepolisan moden dan kerjasama kepolisan komuniti, objektif pencegahan jenayah akan tercapai,” katanya ketika merasmikan Program Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai (PSP) hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan sangat sensitif dalam isu persepsi masyarakat terhadap jenayah.

Ahmad Zahid berkata kepolisan berorientasikan masyarakat juga merupakan aspek yang penting bagi membina perhubungan erat dan kerjasama rapat di antara masyarakat dan polis untuk menangani isu jenayah.

Katanya, kadar jenayah di Pulau Pinang berjaya diturunkan 11.25 peratus tahun ini hasil usaha polis, MCPF dan juga kepolisan komuniti.

“(Oleh itu)..semua lapisan masyarakat digalakkan terlibat dalam program kepolisan komuniti untuk meningkatkan tahap akauntabiliti dan tanggungjawab pihak polis kepada komuniti tempat mereka berkhidmat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penurunan kadar jenayah ini akan mampu meningkatkan persepsi masyarakat terhadap anggota polis.

Namun, katanya, kerjasama dan kesepakatan yang kukuh daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pelbagai organisasi berkaitan tidak kira di peringkat tempatan mahupun nasional merupakan asas utama untuk mengurangkan dan mengawal aktiviti jenayah. – WD MY