KUALA LUMPUR, DISEMBER 8: ASTRO… Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) bakal menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada kakitangannya, yang akan membolehkan kumpulan untuk terus menyusun organisasinya.

Bakal Ketua Pegawai Eksekutifnya, Henry Tan, berkata pelaksanaan VSS itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan perbelanjaan operasi tahunan kumpulan.

“VSS ini ditawarkan secara sukarela sepenuhnya. Syarikat akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi memastikan pelanggan kami tidak terjejas dengan eksesais ini.

“Syarikat juga telah menyediakan program peralihan yang akan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada pekerja yang memilih skim VSS ini termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan itu bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah kakitangan yang akan terbabit di dalam VSS berkenaan.

Mengulas lanjut, Tan berkata, industri media dan hiburan kini beroperasi di dalam persekitaran yang mengalami gangguan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, peserta industri dikehendaki mencipta semula dan menyesuaikan diri dengan pantas untuk kekal relevan dalam realiti baru ini.

“Dalam dunia yang semakin tanpa sempadan dan digital, persaingan berlaku secara tidak henti-henti. Astro terus proaktif untuk menyuburkan semula kumpulan dalam usahanya untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran dan kekal relevan pada tahun mendatang,” katanya.

PublicInvest Research di dalam notanya sebelum ini berkata Astro sedang melaksanakan semakan semula strategik struktur perniagaannya, termasuk rasionalisasi kos lebih mendalam dan mengoptimumkan tenaga kerja.

“Walaupun ini berpotensi akan menyebabkan perbelanjaan sekali saja dalam beberapa bulan akan datang, kami positif terhadap penjimatan kos jangka panjang, penambahbaikan produktiviti dan penempatan semula sumber lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber yang menghadiri sesi town hall diadakan syarikat itu hari ini, Astro dijangka dapat menjimatkan sehingga 15 peratus atau lebih RM80 juta dari segi kos kakitangan daripada pelaksanaan VSS itu.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018, kos kakitangan syarikat itu adalah sebanyak RM590 juta.-MY WD