COX’S BAZAR (Bangladesh), 17 Okt –  Malaysia akan menempatkan seorang atase kemanusiaan dan kebajikan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bangladesh, bagi melaksanakan komitmen kerajaan membantu pelarian etnik Rohingya yang kini berada di kem-kem pelarian,kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata perkara itu akan beliau cadangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan supaya ia dapat dilakukan segera.

“ Atase kemanusiaan ini akan kita tempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka. Dengan adanya pegawai ini, ia akan membantu pejabat Suruhanjaya Tinggi untuk melakukan bukan hanya koordinasi tetapi pemantauan agar bantuan-bantuan sampai kepada sasaran dan dapat dirasai faedahnya oleh pelarian berkenaan,” katanya di sini.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya selama dua hari ke Bangladesh sejak Ahad.

Ketika melawat Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong, kira-kira 35 km dari sini pada Isnin, Ahmad Zahid berkata MKN akan bertindak menyelaraskan bantuan kemanusiaan yang mahu disalurkan kepada etnik Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di Bangladesh.

 

Ini bagi memastikan semua bantuan akan sampai kepada sasarannya selain memastikan jenis bantuan yang benar-benar diperlukan pelarian itu.

Ahmad Zahid berkata dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kementerian Luar akan dapat melakukan pelantikan secara pentadbiran dengan segera dan beliau yakin perkara itu boleh dilaksanakan dalam tempoh 30 hari. “Semoga ini dapat beri gambaran dan terjemahkan komitmen kerajaan terhadap permasalahan pelarian Rohingya di Bangladesh. Ini kali pertama kita akan tempatkan atase kemanusiaan dan kebajikan,” katanya sambil menambah walaupun tidak pernah timbul isu sumbangan pelarian tidak sampai kepada penerima, adalah baik untuk pemantauan sentiasa dilakukan.

Sementara itu, katanya, beliau akan berbincang dengan perdana menteri berkenaan pelaksanaan peranan MKN sebagai penyelaras semua bantuan untuk pelarian Rohingya dan seterusnya membawanya kepada jemaah menteri.

“ Ia meliputi bantuan yang datang daripada kerajaan termasuk pembinaan hospital medan yang akan dibina Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia.

“Juga kerjasama dengan media yang kumpulkan bantuan untuk disalurkan melalui usaha MKN bagi diagihkan kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Malaysia yang bergerak di Bangladesh dan kepada badan-badan kebajikan lain yang prihatin dengan kebajkan orang Rohingya,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada NGO Malaysia yang berada di Bangladesh yang sedang bergerak di beberapa lokasi pelarian Rohingya.

Sebelum sidang media itu, Ahmad Zahid menyampaikan bantuan sebanyak enam juta Taka (RM309,000) kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan dua juta Taka (RM103,000) kepada Mercy Malaysia, bagi meneruskan usaha membantu pelarian Rohingya.

Krisis kemanusiaan semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari dan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.

Jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi ada banyak pihak mendakwa ia melebihi sejuta orang.

Untuk rekod, hanya terdapat dua kem rasmi bagi pelarian Rohingya iaitu Kutupalong dan Nayapara tetapi ada berpuluh-puluh lagi kem sementara yang diwujudkan oleh pelarian sendiri dan jumlah itu bertambah dari hari ke hari. – WD MY