KUALA LUMPUR, JAN 18: Majlis Sukan Negara (MSN) menerima tamparan lagi apabila trio memanah acara compound Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip menghantar surat meletakkan jawatan sebagai atlet kebangsaan.

Pasti ada punca mengapa tiga atlet itu yang sentiasa mempamerkan prestasi terbaik bertindak demikian.

Bagaimanapun tiga atlet itu difahamkan bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan pentadbiran MSN.

Juwaidi yang menghadiahkan pingat gangsa pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dalam acara berpasukan dianggap sebagai kapten terlebih dahulu mengambil keputusan drastik dengan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada MSN.

Tindakan itu nyata menyentap semangat atlet lain termasuk pemanah wanita Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang menyatakan keputusan Juwaidi menyebabkan langkah pasukan compound tempang.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku ini. Kami pasti akan berasa tempang. Bila tidak ada lagi ketua yang akan membimbing.

“MSN sepatutnya menghargai apa yang kami lakukan. Pencapaian yang membanggakan dan tidak pernah mengecewakan. Tapi saya faham mereka kecewa dengan apa yang berlaku ketika ini,” katanya.

Difahamkan tiga atlet compound itu mengambil keputusan drastik menghantar surat peletakan jawatan kerana pengurangan elaun.

Potongan elaun daripada RM3,000 kepada RM500 sebulan dan RM2,000 kepada RM500 dirasakan tidak wajar terhadap komitmen yang diberikan.-MY WD