KUALA LUMPUR, 25 Nov – Wajibkan…….Timbalan Pedana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Bank Negara dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mewajibkan semua bank yang mempunyai mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan 24 jam di premis.

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu berikutan meningkatnya kes rompakan dan penggunaan bahan letupan untuk memecahkan mesin ATM dan CDM.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) khuatir sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian akan menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa orang awam yang berada sekitar kawasan bank berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Industri Kawalan Keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Seramai 3,500 tetamu hadir pada majlis yang julung kali diadakan itu bagi meraikan warga kerja dalam industri kawalan keselamatan.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan mulai tahun depan, pengawal keselamatan peribadi atau ‘bodyguard’ wajib menjalani latihan khas dan ditauliah oleh polis.

Katanya, latihan itu dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen bawa dan guna senjata api pengawal keselamatan.

Langkah itu dilaksanakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu.

“Pada masa yang sama latihan berkenaan dapat menyediakan pengawal peribadi yang terlatih selain meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan peribadi itu,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk tidak lagi bergantung kepada tenaga kerja warga Nepal sebagai pengawal keselamatan.

“Saya akan umumkan pekerja dari negara lain yang akan dibenarkan bekerja dalam industri kawalan keselamatan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri sedikit masa lagi,” katanya. -WD MY