KUNDASANG, 29 Ogos – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia
menghadapi sebarang kemungkinan dalam memastikan keselamatan negara terus
terjamin namun semua tindakan yang diambil perlu berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk bertindak sekiranya
undang-undang negara menuntutnya berbuat demikian, sesuai dengan kedudukannya
sebagai barisan terakhir pertahanan.

“Saya yakin pihak polis boleh mengawal keadaaan. Saya secara peribadi
terlibat secara langsung dalam Bersih 1,2 dan 3. Kita tahu apa yang mungkin
berlaku dan kita belajar daripada pengalaman kita sebelum ini.

“Saya minta semua pihak menghormati undang-undang. Jangan ada pihak yang
cuba mengeksploitasikan keadaan sehingga keadaan tidak terkawal,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan program Jiwa Murni Kerjasama Angkatan Tentera
Malaysia-Media Prima Berhad di sini.

Mengenai perhimpunan haram Bersih 4 yang dijadualkan esok, Hishammuddin
berkata sudah tentu banyak maklumat akan diputar belit dalam media sosial esok
apabila perhimpunan berkenaan diadakan.

Bagaimanapun, dalam konteks Sabah, beliau mengingatkan orang ramai supaya
tidak mudah mempercayai sebarang maklumat di dalam media sosial kerana
berdasarkan pengalamannya semasa peristiwa pencerobohan pengganas di
Tanduo, Lahad Datu, 99 peratus maklumat yang tersebar di media sosial adalah
tidak benar.-Sharini Abdullah (WD MY)

LEAVE A REPLY