LONDON, 29 Nov – LUCUT…. Aung San Suu Kyi, dilucutkan anugerah kebebasan kehormat Oxford kerana tidak berbuat apa-apa dalam krisis kemanusiaan Rohingya.

Majlis Bandaraya Oxford, menyatakan anugerah Freedom of The City, diberikan kepada Suu Kyi pada 1997 kerana beliau menunjukkan ciri Oxford iaitu tolak ansur dan sifat keantarabangsaan.

“Hari ini kami mengambil tindakan melucutkan anugerah kehormat itu selaras dengan sikap tidak acuh beliau berhubung penderitaan etnik Rohingya.

“Reputasi kami terjejas kerana memberi anugerah itu kepada individu yang menutup mata terhadap kekejaman yang dilakukan tentera negaranya,” menurut kenyataan.

Universiti Oxford sebelum ini turut menurunkan potret Suu Kyi yang juga bekas penuntut institut pengajian tinggi terkemuka dunia itu, September lalu.

Mendiang suami Suu Kyi, Michael Aris, adalah bekas pensyarah jurusan Sejarah Asia di universiti terbabit dan pasangan itu turut membesarkan dua anak mereka di kota berkenaan.

Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, sebelum ini dikecam hebat berikutan kegagalan beliau untuk bersuara bagi membela nasib etnik Islam Rohingya di Myanmar. – WD MY