BANGKOK, 17 DIS – TIADA HAK…… Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan Australia yang mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel, hari ini, sambil menyatakan ia ‘tiada hak’ untuk berbuat demikian.

Tindakan Australia dilakukan selepas keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke wilayah dipertikaikan itu, Mei lalu yang menimbulkan kemarahan penduduk Palestin, dunia Islam dan sekutu Barat.

“Baitulmaqdis patut kekal sebagai mana sekarang dan bukan ibu negara Israel. Baitulmaqdis sentiasa di bawah Palestin, mengapa perlu mereka bertindak membahagikan kawasan bukan milik mereka dengan memisahkan Arab dan Yahudi?

“Mereka tidak mempunyai hak,” katanya kepada media di Bangkok.

Malaysia adalah negara majoriti Muslim dan sejak sekian lama menyokong penyelesaian dua negara dalam konflik Israel dan Palestin. – WD MY