KUALA LUMPUR, 12 April – Autobiografi….. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah autobiografi boleh menjadi sumber sejarah negara khususnya tokoh yang berperanan penting dalam pembentukan naratif kebangsaan.

Sultan Nazrin bertitah, tujuh dekad dalam kehidupan sebagai sebuah negara, kita wajar meraikan mereka yang berperanan penting dalam pembentukan naratif kebangsaan seperti diceritakan oleh mereka sendiri supaya ia tidak dilupakan.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan autobiografi ‘I,KKK – The Autobiography of A Historian’ tulisan sejarawan, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, dan anaknya, Eddin Khoo di Memorial Tuanku Abdul Rahman.

Tegas baginda, autobiografi boleh menjadi sumber sejarah negara kerana keupayaannya merakamkan sudut pandang peribadi.

“Kay Kim adalah sejarawan negara yang dikenali sebagai ‘ensiklopedia sejarah negara bergerak’. Beliau adalah generasi awal sarjana yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kebangsaan,” katanya di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.

I KKK terbitan Kala Publication adalah jilid pertama daripada siri penerbitan tulisan Kay Khim yang akan diterbitkan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Pelancaran majlis itu turut dihadiri Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Sementara itu, Kay Khim berkata meskipun beliau tidak berminat menghasilkan buku tentang dirinya sendiri tetapi galakan keluarga dan kawan-kawan menyaksikan autobiografi ini terhasil.

“Autobiografi ini bukan ucapan selamat tinggal kepada sejarah Malaysia. Ada banyak lagi kajian dan penyelidikan yang akan dihasilkan untuk perkembangan sejarah negara. Ini kerana sejarah mesti berdasarkan kajian empirikal dan bukan media sosial,” katanya.