KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ganti…… Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan Awang Adek itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya dengan pengalaman Awang Adek yang akan dapat memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara,” katanya.

Awang Adek, 62, adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan (2006-2013) dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2004-2006) selepas memenangi kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum 2004.

Awang Adek kini adalah Ketua UMNO Bahagian Bachok.

Pelantikan Awang Adek itu menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat kontraknya pertengahan bulan ini. – WD MY