KOTA KINABALU, 28 April – Timbalan Pengarah Harta, Perundangan dan Tahanan
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer
dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Awang Sahari menggantikan Datuk Abdul Malek Harun yang bersara wajib.

Majlis terima dan serah tugas antara beliau dan Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Sabah Datuk Sallehhudin Abd Rahman yang sebelum ini memangku jawatan itu
berlangsung di sini hari ini yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk
Jalaluddin Abdul Rahman.

Awang Sahari, 59, telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
selama 37 tahun dan mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam cawangan khas
serta tujuh tahun dalam bidang jenayah perdagangan.

Beliau yang berasal dari Kampung Brunei, Membakut pernah menjadi Ketua
Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Sabah.

Pada majlis itu, bekas Ketua Cawangan Khas 1 (Operasi) Sarawak Datuk
Clarence Rorote Ak Sagon turut mengambil alih tugas sebagai Ketua Cawangan Khas
Sabah yang baharu daripada Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 ACP Md Zainal Rahmat
yang sebelum ini memangku jawatan itu.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY