KUALA LUMPUR, 15 Mac – TIKET…. Penyanyi rock legenda, Datuk Awie nekad menjual sendiri tiket Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings X Bunkface bagi mengelak ditipu pihak ketiga.

Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Osman, berkata tiket konsert yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 Mei depan itu akan dijual secara manual menerusi kelab peminat mereka, Sayap-Sayap Wings sebagai ejen yang dilantik.

“Kami pernah ditipu apabila persembahan dianjurkan penuh dengan penonton, tetapi ketika pengiraan dibuat, ejen memaklumkan hampir separuh tiket tidak terjual.

“Kejadian yang sama juga berlaku ketika menjayakan satu lagi konsert di ibu negara, beberapa tahun lalu. Kali ini, penganjur bermain tarik tali dalam soal bayaran dan memberikan pelbagai alasan.

“Hanya selepas diberi kata dua, tidak sampai seminggu, akhirnya baki bayaran dijelaskan. Itu belum termasuk ada yang mencetak tiket palsu dan menjual dengan harga yang lebih murah, berbanding tiket asal.

“Tidak mahu insiden sama berulang, kami ambil keputusan jual tiket sendiri dengan bantuan kelab peminat,” katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, tiket konsert itu turut dilengkapi ciri keselamatan.

“Pembeli akan diberikan resit yang dilengkapi maklumat acara dan boleh ditebus di kaunter khas, empat hari sebelum konsert bermula. Penonton juga akan dibekalkan dengan gelang khas sebagai pas masuk,” katanya.

Dianjurkan Awie Entertainment, Awie berkata, konsert dua jam itu adalah antara siri persembahan yang dirancang sempena sambutan ulang tahun ke-35 penubuhan Wings.

Untuk persembahan pembukaan, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati dan Taman Rashidah Utama itu bergabung tenaga dengan Bunkface.

Maklumat mengenai konsert dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman sosial rasmi Wings: @sayap2wings (Instagram) dan Sayap-Sayap Wings (Facebook). – WD MY