BAYAN LEPAS, 4 Mac – MANGSA….. Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berkata, pihak Konsortium Zenith semalam sudah menyerahkan notis menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka berkaitan bayaran projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau tetap akan mengambil tindakan undang-undang ke atas semua pihak yang mengaitkannya dengan bayaran RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Katanya, perbuatan pihak terbabit yang turut disiarkan portal berita dalam talian menyebabkan timbul pelbagai fitnah yang dianggap bertujuan sebagai pembunuhan karakternya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

“Saya akan saman selepas selesai berbincang bersama peguam. Semua pihak yang mengaitkan saya menerima surat tuntutan dan bayaran daripada Konsortium Zenith akan diambil tindakan.

“Tindakan ini demi menjaga nama baik institusi saya wakili terutamanya Tabung Haji dan UMNO yang dikaitkan pihak berkenaan dengan tujuan pembunuhan karakter saya,” katanya pada sidang media di Kompleks TH di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling sebelum ini dikaitkan dalam bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith bagi menutup kes siasatan projek terowong dasar laut yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Azeez berkata, Konsortium Zenith dalam notis penarikan dan permintaan maafnya secara jelas juga menafikan kaitan beliau dalam projek terbabit, malah sedia membantu membersihkan namanya kepada umum.

“Saya sebenarnya menjadi mangsa ‘penjualan nama’ dan ini diakui sendiri Konsortium Zenith, malah surat tuntutan awal yang mendakwa saya menjadi proksi kepada dalang yang memperdaya syarikat itu juga tidak sepatutnya dihantar.

“Saya juga ingin memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak membuat fitnah dahsyat sebegini terutama menjelang PRU-14 kerana saya akan melawan semua taktik jahat ini,” katanya. – WD MY