KUALA LUMPUR, 21 Dis – Menang…… Datuk Azih Muda mengekalkan kerusi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penggal kedua pada sesi pemilihan sempena Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-27, yang berakhir hari ini.

Beliau menewaskan bekas Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin dengan kelebihan 694 undi.

Azih mendapat 939 undi manakala Ahmad Shah memperoleh 245 undi.

Keputusan itu diumumkan sebentar tadi oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi, Rohaizat Hashim bagi pemilihan pegawai tertinggi CUEPACS sesi 2016-2019 selepas pengundian dilakukan lebih 1,201 perwakilan.

Timbalan Presiden I, Mohd Shaman Jaes dan Timbalan Presiden II, Zainal Ismail, juga berjaya mempertahankan jawatan mereka, masing-masing memperoleh 658 dan 418 undi.

Bagi jawatan Setiausaha Agung, Adnan Mat memenangi jawatan itu dengan menerima 876 undi bagi menggantikan Datuk Lok Yim Pheng yang mengundur diri pada pemilihan kali ini. – WD MY